![]() ![]() |
|
Utusan Malaysia, 29 June 2004 Sumatec Resources Bhd (SUMATEC), yang terlibat dalam perniagaan gas dan petroleum, akan menerokai empat bidang baru untuk memaksimumkan pulangan. Empat bidang baru itu ialah pengangkutan dan logistik marin, pengurusan bahan buang berisiko, terminal dan penyimpanan minyak dan tenaga diperbaharui, kata Pengarah Urusannya Chan Yok Peng. Chan berkata, bidang-bidang itu akan menjadi tumpuan SUMATEC bagi menghadapi tempoh masa 5 hingga 10 tahun akan datang. "Oleh kerana kontrak perniagaan sekarang tidak menentu dan tempohnya adalah singkat, adalah baik bagi kami meneroka peluang yang boleh memberikan pulangan maksimum," katanya selepas mesyuarat agung tahunan SUMATEC di sini hari ini. SUMATEC adalah syarikat yang terlibat di dalam kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan kerja-kerja operasi cari gali (EPCC) tempatan dan luar negara. Ketika ini, SUMATEC sedang menguruskan tender-tender EPCC yang bernilai RM1.2 bilion yang mampu bertahan sehingga tahun 2006 melalui tempatan dan luar negara. Menurut Chan, melalui empat bidang itu, SUMATEC mampu mengendalikan kerja-kerja tersebut secara konsisten dan stabil kerana satu-satu projek ia akan mengambil masa yang lama. Sebagai contohnya, bagi kerja-kerja logistik dan pengangkutan marin untuk gas serta minyak, ia kini sedang dimonopoli oleh syarikat dari Singapura. Melalui pembabitan SUMATEC, kata Chan, ia akan membuka persaingan secara rata tanpa membelakangkan keupayaan syarikat tempatan. Selain itu, pembabitan SUMATEC di dalam penyimpanan minyak dan terminal pula dilihat sebagai langkah penyediaan syarikat tersebut bersaing dengan syarikat gergasi antarabangsa. "Fungsinya sama seperti gudang menyimpan barang-barang dan kami akan menyewanya kepada pelanggan kami seperti Petronas jika ia memerlukannya," tambah Chan. Di samping itu katanya, penglibatan SUMATEC di dalam industri sumber tenaga diperbaharui adalah bagi memberi alternatif kepada syarikat yang menggunakan sumber tenaga. Industri tersebut akan membekalkan tenaga
hijau yang diambil dari sisa buangan dan diproses menjadi tenaga. Antara
bahan buangan yang dikenal pasti ialah habuk kayu dan sisa buah kelapa
sawit.
[ back
] |
||
| Copyright © 2004 by Sumatec Resources Bhd. All rights reserved. | ||