กก

Muktamadkan niaga janji

Utusan Online, 17 April 2005

KUALA LUMPUR 20 April - Pakar kejuruteraan dan pembinaan industri minyak dan gas, Sumatec Resources Bhd menjangka dapat memuktamadkan niaga janji untuk meninjau lapangan minyak dengan Pertamina di Indonesia dalam tempoh dua bulan lagi, demikian menurut sumber.

Pertamina atau Perusahaan Pertambangan Minyak dan Gas Bumi Negara ialah syarikat minyak dan gas milik negara Indonesia.

Lapangan itu yang berlokasi di Java Tengah dijangka dapat menghasilkan 5,000 tong minyak mentah di daratan setiap hari, kata sumber yang rapat dengan Sumatec.

``Projek yang merupakan usaha sama antara Sumatec dan sebuah syarikat tempatan itu kini dalam peringkat `memuktamadkan butiran' dan kini hanya menantikan Pertamina,'' kata sumber.

Pengeluaran dijangka menghasilkan AS$200,000 (RM760,000) setiap hari berdasarkan anggaran konservatif pada harga purata minyak sawit AS$40 (RM152) setong, kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Sumatec turut membida pembinaan stesen gas asli di Eastern Turkey, kata sumber itu.

Ia telah mengemukakan bida untuk projek bernilai AS$30 juta tiga bulan lepas dan syarikat itu dipercayai pembida terendah.

Sumatec telah berkecimpung dalam perniagaan minyak dan gas atas daratan selama 25 tahun. Baru-baru ini, Sumatec telah merealisasikan pelan pempelbagaian ke dalam empat bidang berkaitan sektor tenaga-pengangkutan marin dan logistik, pengurusan sisa berbahaya, penyimpanan minyak dan terminal dan tenaga diperbaharui.

Sebelum pempelbagaian itu, Sumatec memberi tumpuan kepada perniagaan kejuruteraan, pembinaan dan pelaksanaan (EPPC). - Bernama

กก

กก

กก

[ back ]

Copyright © 2005 by Sumatec Resources Bhd. All rights reserved.