กก

Sumatec sedia sahut cabaran ekonomi sejagat 

Berita Minggu, 17 April 2005

PADA 1979, Sumatec Construction Sdn Bhd mula beroperasi dalam kegiatan kejuruteraan dan pembinaan. Selepas kejayaan menyiapkan pelbagai projek di dalam negara, dan sejajar dasar baru ekonomi negara, Sumatec Construction melalui perubahan struktur dan ekuiti melahirkan Sumatec Corporation Sdn Bhd pada 1985.

Sumatec hari ini syarikat pembinaan Kelas A berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor (PKK) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

Sepanjang lebih 25 tahun lalu, Sumatec berjaya meningkatkan keupayaannya dalam mengendalikan pakej pembinaan bersepadu pelbagai disiplin membabitkan kerja sivil, fabrikasi keluli, pemasangan paip mekanikal, tangki penyimpanan serta pengendalian peralatan elektrikal.

Ia juga terbabit dalam pelbagai disiplin pakej pembinaan aktiviti hiliran industri minyak dan gas dan petrokimia.

Sistem kualiti syarikat diberi pengiktirafan pensijilan ISO 9000 sejak 1996, bukti komitmennya terhadap mutu kerja.

Kejayaan menyiapkan projek mengikut jadual di Malaysia, Kemboja, Singapura, Sudan, Cameroon, Vietnam, Azerbaijan dan Maldives membuktikan kemampuannya bersaing di arena antarabangsa.

Menerusi pejabatnya di Abu Dhabi; Cameroon; Chad dan cawangan pejabat di Khartoum, Sudan; Baku di Azerbaijan; dan Phnom Penh di Kemboja; Sumatec bersedia melaksanakan kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan penyelenggaraan (EPCC) bagi industri berkaitan petrokimia dan minyak dan gas di seluruh dunia.

Sumatec baru-baru ini mengambil alih empat syarikat perkapalan pada kos RM50 juta bagi mengukuhkan kedudukannya dalam perkhidmatan pengangkutan marin dan logistik.

Empat syarikat itu, Semado Maritime Sdn Bhd, Semua Shipping Sdn Bhd, Oil Supply Sdn Bhd dan Mini Tanker Chartering Sdn Bhd memiliki gabungan enam kapal tangki pesisiran pantai dengan kapasiti 33,000 tan dan dipajak bagi tempoh jangka pendek dan panjang.

Sumatec merancang meningkatkan bilangan angkatan kapal tangki kepada lapan menjelang tahun depan dan 10 pada 2007 dengan kapasiti 63,000 tan.

Keempat-empat syarikat itu mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam kerja mengangkut produk petroleum seperti petrol kenderaan, diesel dan bahan api pesawat dari kilang penapisan ke terminal dengan pelanggan utamanya termasuk Shell Trading Sdn Bhd dan ExxonMobil Borneo Sdn Bhd.

Ia juga merancang membida kontrak ditawarkan Petronas bagi mengangkut petroleum mentah dan gas asli cecair (LPG).

Penyertaan dalam perniagaan pengangkutan marin dan logistik perkapalan membolehkan Sumatec menerokai perniagaan pengendalian berikutan potensi besar dalam sektor pengangkutan kapal tangki luar pesisir pantai.

กก

กก

[ back ]

Copyright © 2005 by Sumatec Resources Bhd. All rights reserved.