Sumatec Ke Papan Utama Melalui Penyenaraian Berbalik

Berita Harian, 14 Ogos 2003

SUMATEC Resources Bhd (SUMATEC), sebuah syarikat pegangan pelaburan yang terbabit dalam pelbagai disiplin pakej pembinaan untuk industri minyak dan gas, akan disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL) awal bulan depan.

Pengarah Urusannya, Wan Kamaruddin Wan Abdullah, berkata penyenaraian itu akan dilakukan menerusi pengambilalihan berbalik Malaysian General Investment Corp Bhd (MGIC).

Katanya, ia akan membabitkan pertukaran keseluruhan saham MGIC dengan saham baru yang akan diterbitkan SUMATEC pada asas satu saham baru SUMATEC bagi setiap lima saham sedia ada MGIC.

"Pemegang saham MGIC akan menerima 12.89 juta saham biasa RM1 sesaham dalam SUMATEC sebagai tukaran 64.456 juta saham RM1 sesaham yang dipegang mereka dalam MGIC sebelum ini," katanya pada sidang media mengumumkan penyenaraian SUMATEC di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, semalam.

Wan Kamaruddin berkata, pengambilalihan itu juga akan membabitkan penyelesaian hutang MGIC melalui terbitan 24.98 juta saham baru dalam SUMATEC kepeda pemiutangnya.

Sejajar cadangan skim penyusunan semula itu, SUMATEC akan mengambil alih keseluruhan saham terbitan dan saham modal berbayar dalam SUMATEC Corporation Sdn Bhd (SCSB) berjumlah 10 juta saham daripada Tekad Mulia Sdn Bhd (Tekad Mulia) pada pertimbangan RM95 juta yang akan dilaksanakan menerusi terbitan 95 juta saham baru dalam Sumatec pada harga terbitan RM1 sesaham, katanya

Tekad Mulia memegang 100 peratus saham dalam SCSB.

Wan Kamaruddin berkata, skim penusunan semula itu akan menjadikan SUMATEC syarikat yang mempunyai kedudukan kewangan kukuh dengan modal berbayar RM132.9 juta.

"SUMATEC akan lebih bersedia untuk mengambil projek besar dan bermodal tinggi. Ini akan membolehkan SUMATEC bersaing dengan syarikat global lain dalam sektor minyak dan gas," katanya.

Beliau berkata, sejajar dengan matlamat syarikat untuk menjadi syarikat utama dunia dalam industri minyak dan gas, SUMATEC akan terus meningkatkan usaha bagi mendapatkan lebih banyak projek di luar negara.

Katanya, SUMATEC menerusi SCSB mempunyai kontrak dalam tangan bernilai RM276 juta yang mana 30 peratus adalah projek luar negara.

"Terbaru iailah pembidaan bagi mendapatkan projek membina stesen jana kuasa di Brunei bernilai B$70 juta (RM151.9 juta)," katanya.

Tahun lalu ia mencatat keuntungan bersih RM7.678 juta.

[ back ]

 

 

Copyright © 2004 by Sumatec Resources Bhd. All rights reserved.